JASIN: Sejumlah 62,644 unit Rumah Mampu Milik (RMM) yang dibina sejak 2014 berjaya menjadikan Melaka sebagai negeri yang paling banyak menawarkan rumah pada harga berpatutan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata projek perumahan itu bermatlamat menggalakkan rakyat memiliki kediaman sendiri sekaligus berkongsi nikmat pembangunan pesat negeri.

“Pengiktirafan ini berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia Tahun 2016 menerusi nisbah median harga rumah dengan median pendapatan penduduk di bawah indeks 3.0,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek RMM Merlimau, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Saleh Mohd Dom dan Pengarah Urusan Syarikat Wawasan Intact Properties Sdn Bhd, Datuk Ng Choon Cheng.

Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan negeri turut mewajibkan pemaju perumahan supaya membina kira-kira 40 peratus RMM bagi setiap projek perumahan yang dirancang melebihi 3.23 hektar di negeri ini.

“Kerajaan negeri turut berperanan mengawal harga RMM di Melaka, iaitu tidak melebihi RM180,000 seunit, sekaligus memastikan rakyat berpeluang memiliki kediaman mereka sendiri.

“Pada harga mampu dimiliki, RMM yang berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi ini turut mempunyai kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air,” katanya.

Menerusi projek RMM Merlimau berkeluasan 35.46 hektar itu, sebanyak 919 unit kediaman setingkat akan dibina dalam tempoh dua tahun bagi rumah berkeluasan 28 x 52 dan 22 x 65, manakala lima unit kedai setingkat berkeluasan 22 x 70.

Sementara itu, Idris berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan meluluskan pembinaan sebanyak 50 unit rumah di bawah Skim My Beautiful New Home (MYBN HOME)

bagi negeri ini yang terletak di Lipat Kajang, di sini.

INFO

MyBN Home

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/10/332364/rumah-mampu-milik-62644-unit-di-melaka