MELAKA – Sebanyak 1,347 rumah dan 51 kedai/pejabat akan dibina dalam dua projek Rumah Mampu Milik (RMM) melibatkan kos kira-kira RM217.4 juta di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata projek yang dibangunkan syarikat Wawasan Intact Properties Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Perumahan Melaka itu bertujuan memastikan penduduk berpeluang memiliki rumah sendiri termasuk penjawat awam.

Beliau berkata, projek pertama yang akan dibangunkan melibatkan pembinaan 129 RMM Taman Desa Idaman atau dikenali sebagai Rumah Penjawat Awam Melaka di tanah seluas 4.05 hektar dengan kos kira-kira RM23.2 juta di Durian Tunggal, Alor Gajah di sini.

“Setiap rumah ini dibina dengan keluasan 28 x 50 kaki dan akan dijual pada harga RM180,000 seunit.

“Penjawat awam di negeri ini akan diberi keutamaan untuk memiliki rumah ini dan ia dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian projek berkenaan bersama Lembaga Perumahan Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Saleh Md Dom dan Pengarah Wawasan Intact Properties, Datuk Ng Choon Cheng serta Ng Choon Koon.

Perjanjian tersebut ditandatangani Saleh yang mewakili Lembaga Perumahan Melaka manakala Wawasan Intact Properties diwakili kedua-dua pengarahnya.

Beliau berkata, projek kedua pula akan melibatkan pembinaan 1,218 RMM dan 51 kedai/pejabat di tanah seluas 35.46 hektar dengan kos kira-kira RM194.2 juta di Merlimau, Jasin.

“RMM ini akan dijual pada harga RM150,000 seunit manakala kedai pejabat pula pada harga RM225,000 dan ia dijangka dibangunkan dalam dua fasa,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu akan memacu kemajuan dan merancakkan pelbagai pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan pada masa akan datang. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/1-347-rumah-mampu-milik-akan-dibina-1.595792